Temuduga


Temuduga

Temuduga
Sesi temuduga adalah satu sesi yang serius dan bertujuan untuk menilai atau memeriksa dengan reliti segala aspek diri pemohon bagi memastikan majikan berkenaan benar-benar memilih calon yang berkelibar untuk menjalankan tugas-tugasnya dengan cemerlang. Oleh itu apabila anda dipanggil untuk menghadiri temuduga bererti bakal majikan beranggapan anda adalah di antara beberapa calon lain yang layak dipilih untuk memegang jawatan tersebut.
Anda perlu bijak mengambil peluang keemasan ini untuk memasarkan (market) diri anda kepada bakal majikan serta menyakinkan penemuduga bahawa anda adalah calon yang paling sesuai untuk memegang jawatan berkenaan. Mengikut amalan biasa, dalam pemilihan calon yang sesuai, setiap majikan akan mementingkan tiga aspek berikut:

  Kemahiran/Kebolehan

  Pengalaman

  Personaliti

Untuk membantu anda berjaya dalam temuduga tersebut, anda dinasihati membuat beberapa persediaan seperti berikut:

 
Persediaan Awal


  Pastikan bahawa anda mengetahui masa dan tempat temuduga.

  Hendaklah tiba di tempat temuduga sekurang-kurangnya 20 minit lebih awal. Sekiranya anda tidak dapat hadir kerana hal kecemasan, beritahu majikan seawal mungkin dan membuat temu janji yang lain.

  Hendaklah pakai pakaian yang bersih dan kemas serta bersesuaian dengan pekerjaan yang dipohon. Pakaian yang menjolok mata adalah tidak dibenarkan.

  Bawa bersama satu salinan " resume ", surat akuan, sijil-sijil yang berkaitan dengan kerja. Sebaik-baiknya susun didalam " folder ".

  Selidik tentang latarbelakang firma atau pekerjaan yang anda pohon itu (misalnya produk/perkhidmatan syarikat, jumlah jualan dan keuntungan tahunan, saiz organisasi, pelanggan-pelanggan utama, pesaing-pesaing utama, berita/perkembangan syarikat yang terkini, rancangan pembangunan syarikat, tanggungjawab dan tugas jawatan yang dipohon, latihan-latihan, laluan kerjaya dan sebagainya).

  Tahu apa yang anda boleh sumbangkan kepada majikan.

  Ramalkan soalan-soalan yang akan ditanya oleh penal temuduga dan sediakan jawapan. Diantara soalan-soalan yang mungkin dibangkitkan adalah seperti berikut:

          Bolehkah anda memberi keterangan mengenai diri anda?
         Apa yang membuatkan anda pilih pekerjaan ini?
         Apa pengalaman yang anda perolehi dalam kerja anda yang lepas?
         Kenapa anda berhenti?
         Apakah pencapaian cemerlang dalam kerja anda yang lepas yang anda banggakan?
         Apakah pandangan bekas majikan terhadap anda?
         Adakah anda mempunyai pengalaman dalam kerja jenis ini?
         Kenapa anda fikir anda layak untuk kerja ini?
         Apa yang anda tahu mengenai syarikat ini?
         Apakah yang membuatkan anda berminat dengan perkhidmatan dan produk syarikat ini?
         Bagaimana anda boleh menyumbang kepada syarikat ini?
         Kenapa anda berminat untuk bekerja dengan syarikat ini?
         Apakah rancangan jangka panjang kerjaya anda?
         Apakah kekuatan atau keistimewaan anda?
         Apakah Kelemahan Anda?
         Bagaimana anda menilai diri sendiri?
         Bagaimanakah pandangan rakan-rakan anda mengenai diri anda?
         Bagaimana anda ingin orang lain menilai anda?
         Adakah anda akan menjalani latihan tambahan sekiranya pekerjaan tersebut memerlukannya?
         Adakah anda lebih suka bekerja secara berpasukan atau bersendirian?
         Adakah anda suka kerja-kerja tetap harian (routine)?
         Bagaimana dengan kesihatan anda?
         Apakah kegemaran/hobi anda?
         Sekiranya anda ditawarkan kerja ini, bagaimana anda merancang penggunaan masa bagi dua minggu pertama di syarikat ini?
         Bagaimana anda mengatasi sesuatu masalah yang dihadapi?

  Menyediakan borang perancangan terlebih dahulu seperti di Lampiran II sebelum menghadiri sesuatu temuduga

  Berlatih dengan rakan-rakan
 
Semasa Temuduga


  Beri salam atau ucap selamat pagi/petang kepada panel temuduga dan anda hendaklah beramah-tamah dan bersopan-santun.

  Dengarlah soalan-soalan dengan teliti dan jawab soalan dengan terus terang, tenang, logik, tepat dan penuh keyakinan serta jelas didengar.

  Jangan merasa gementar.

  Bersikap positif.

  Tunjukkan bahawa anda bersungguh-sungguh hendak bekerja dan tumpukan minat terhadap pekerjaan itu.

  Tanyalah mengenai tugas-tugas, latihan-latihan yang disediakan dan prospek pekerjaan/kerjaya.

  Berilah persetujuan dengan senang hati jika diminta mengisi borang, mengambil ujian khas syarikat berkenaan, memberi nama orang-orang tertentu sebagai rujukan atau menjalani pemeriksaan perubatan.

  Jangan menguasai temuduga.

  Jangan membesar-besarkan diri serta bercakap panjang atau bercakap banyak.

  Jangan berbincang masalah peribadi seperti urusan rumah tangga, kesihatan diri atau masalah kewangan anda.

  Jangan bertengkar atau menyatakan tidak bersetuju dengan penerangan yang diberi oleh penemuduga.

  Jangan mengkritik bekas majikan anda.

  Jangan merokok atau mengunyah gula getah atau gula-gula semasa temuduga.
 
Akhir Temuduga


  Tentukan bahawa anda mengetahui tindakan yang harus anda lakukan selanjutnya.

  Bertanya bila anda boleh datang lagi ke pejabatnya untuk mengetahui keputusan akan diumumkan.

  Biarkan penemuduga menamatkan temuduga.

  Apabila temuduga tamat, ambil peluang memberi ucapan terima kasih kepada penemuduga kerana meluangkan masa dengan anda.

  Sebaik sahaja temuduga tamat, tinggalkan bilik temuduga dengan segera dan bersopan santun.

  Hantar surat ucapan terima kasih kepada syarikat berkenaan sebagai tindakan susulan.


Penilaian Prestasi Temuduga


Selepas temuduga, anda harus meluangkan masa untuk menilai prestasi diri untuk membantu anda belajar dari pengalaman temuduga tersebut. Cuba menjawab soalan-soalan berikut dengan ikhlas:

  Adakah saya bersedia?

  Adakah pengetahuan saya mengenai kerja dan syarikat/firma mencukupi?

  Adakah saya membawa diri saya dengan baik?

  Adakah saya mengambil peluang-peluang yang ada untuk menonjolkan kemahiran yang ada kepada majikan?

  Adakah saya bercakap terlalu banyak atau kurang bercakap?

  Adakah saya menguasai temuduga dan bukannya penemuduga?

  Adakah saya cukup tenang dan penuh keyakinan?


Sekiranya anda fikir temuduga tersebut tidak berjaya, jangan putus asa. Cuba lagi untuk memperbaiki diri dan belajar dari setiap pengalaman baru.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan